Tuesday, September 9, 2008

President taruhan Joe



Oleh Wan Asrudi Wan Hasanwanasr@hmetro.com.my


Rap


PEMINAT mengetahui anggota Too Phat, Joe Flizzow dan Malique kini membawa haluan sendiri dalam kerjaya seni mereka. Bukan berpunca daripada perbalahan atau krisis melanda kumpulan yang popular dengan lagu Alhamdulillah dan Dua Dunia itu.


Sebaliknya tindakan itu dilihat sebagai usaha masing-masing melebarkan sayap dalam dunia seni tanah air. Biarpun lebih sedekad mencapai populariti tersendiri sebagai anggota rap tempatan terunggul selain mampu melakar nama di pentas antarabangsa.



Joe yang ditemui pada majlis pelancaran Gatsby Styling Dance Contest dan website di Planet Hollywood baru-baru ini, berkata dia melihat tindakan itu sebagai jalan terbaik mencapai impian masing-masing.“Kami tidak bergaduh. Kalau ada salah faham antara kami ibarat adik dan abang. Mungkin dalam tempoh perkenalan lebih 10 tahun dan membesar bersama memang ada perselisihan faham kecil tetapi ia mampu diselesaikan.



“Ramai yang menganggap kami tidak bersefahaman. Disebabkan sibuk dengan komitmen masing-masing kami jarang berjumpa dan meluangkan masa melepak bersama. Mungkin disebabkan tumpuan kepada penghasilan album manakala Malique pula sibuk dengan urusannya,” katanya.



Joe turut berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya itu di Nusa Dua, Bali, Indonesia pada 8 Ogos lalu. Mengulas lanjut majlis yang ringkas dan penuh makna itu, Joe berkata majlis itu dihadiri saudara-mara dan rakan rapat.



“Majlis ringkas itu dihadiri lebih kurang 40 tetamu terdiri daripada saudara-mara dan teman terdekat. Ada juga beberapa rakan Too Phat, Dj T-Bone selain rakan-rakan di Jakarta. Ia majlis yang ringkas dan unik berlangsung di tepi pantai,” katanya.



Bercerita perkembangan seni, Joe akan tampil dengan album solo pertamanya berjudul President yang dijangka berada di pasaran penghujung tahun ini.Album yang masih mengekalkan konsep hip hop itu sudah hampir siap dengan 12 lagu dirakamkan termasuk lagu Duit yang dipertaruhkan sebagai single pertamanya. Dia menjangka merakamkan lima lagu bagi melengkapkan album itu. Album berkenaan mengandungi lima lagu versi bahasa Malaysia dan sembilan lagu bagi Inggeris.



Dalam pada itu dia turut memikirkan memulakan pemasaran dalam bentuk digital dan laman web berkaitan dirinya, www.karttello.com. Jika tiada aral, album berkenaan tidak hanya tertumpu kepada negara sendiri saja sebaliknya dipasarkan di luar negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina dan Eropah.


“Album ini bukan satu cubaan sebaliknya sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi jenama Joe Flizzow dalam industri. Mungkin juga akan ada kerjasama dengan syarikat korporat dan gabungan bersama beberapa penyanyi. Setakat ini, saya sudah merakam lagu bersama penyanyi Singapura, Hardy Mirza dan akan datang penyanyi rap dari New York, KRS One.
“Jika tiada aral, saya juga akan berduet dengan Amy Search untuk satu lagu (yang belum ditentukan) dalam album ini. Saya juga pernah merancang berduet dengan penyanyi seperti Rihana atau Cris Browne namun atas faktor tertentu dan permintaan bayaran yang terlalu tinggi menyebabkan hasrat berkenaan terpaksa dilupakan,” katanya.Katanya, dia tidak menolak kemungkinan gabungan bersama Malique dapat disaksikan menerusi album Too Phat yang kelima dalam masa dua tahun lagi.

No comments: